Wednesday, June 24, 2009

* HIP 24Jun2009*~




BARU-baru ini, ketika Cik Normah sedang tekun melakukan terapi membeli belah di Pavilion, tiba-tiba Cik Normah ditegur rakan lama dari Utara yang sudah lama tak berjumpa. Ketika itu, Cik Normah sedang ralit membelek-belek tas tangan di sebuah butik berjenama. Perbualan kami akhirnya bersambung hingga ke sesi makan tengah hari.

Macam biasa, tak rugi Cik Normah belanja dia makan kerana tidak semena-mena terpacul cerita yang boleh dikongsi di dalam ruangan ini. Cerita yang diberitahunya berkait dengan seorang peserta One In A Million musim ketiga (OIAM 3) yang turut mempunyai sebuah band.

Senang cerita, Cik Normah sebut nama kumpulan itu terang-terang sajalah. Ia merujuk kepada kumpulan Coco yang menjadi artis naungan syarikat FMC Music.

Patut pun, kawan Cik Normah dapat hidu cerita itu. Nak dijadikan cerita, vokalis kumpulan itu iaitu Nine pun berasal dari Utara. Menurut kawan Cik Normah lagi, semangat Nine bersama kumpulannya untuk terus memperjuangkan jalur muzik mereka tidak pernah luntur sama sekali. Coco masih wujud, tambahan pula kontrak mereka dengan syarikat rakaman itu sampai 2010.

Ketika ini, ada tiga lagu yang dirakamkan kumpulan itu. Nine turut berduet dengan rakan seperjuangannya di OIAM 3 iaitu Amylea menyanyikan lagu berjudul Jangan Datang. Lagu itu antara dua buah lagu yang dicipta sendiri oleh Nine. Selain lagu Jangan Datang, lagu kedua menggunakan judul Berdiri.

Anggota Coco, AG yang turut membantu bermain instrumen muzik dengan kumpulan Hujan masih setia dengan kumpulan Coco. Bahkan, AG juga mencipta sebuah lagu untuk kumpulan Coco. Konsep lagu kali ini masih berentak rock seperti yang pernah dirakamkan di dalam album terdahulu.

Kalau jadi, tambah kawan Cik Normah itu, single yang dibikin itu akan dikeluarkan paling cepat pada bulan depan. Biasalah, sekarang pun, ramai artis yang mengeluarkan single satu persatu sebelum tampil dengan album penuh.

Di kesempatan ini, Cik Normah nak ucapkan selamat maju jaya dekat Coco.

1 comment:

  1. ...yeah..amylea juagk org Kedah Cik Normah huhu...
    .....JANGAN DATANG>>>COMING SOONNNNN

    ReplyDelete